06 December 2010

SELAMAT HARI LAHIR ANAK KU

SELAMAT HARI LAHIR ANAKKU

Sayangku,...
Hari ini hari lahirmu bukan? Semakin membesar dengan kecerdikanmu yang tersendiri..dengan anugerah Ilahi. Maafkan ayahmu ini jika ayahmu ini tidak dapat mengembirakan hatimu seperti kanak-kanak yang lain. Ayahmu ini serba kekurangan. Maafkan ayah ya. Hanya hadiah yang sedikit..dari ayahmu ini..sedikit kata-kata buatmu wahai anakku.

Sayangku,...
Lihatlah, hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan berhenti, masa tetap akan berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan waktu dan hari. Demikian juga tiada siapa pun yang dapat menahan ia untuk pergi. Samada manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia tetap menjelang.

Sayangku,...
Lihatlah, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang telah dicatatkan, entah berapa banyak sanjungan yang telah diberikan, entah berapa banyak kejian yang telah dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.

Maka, entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan pengemis yang merintih simpati.

Sayangku,...
Lihatlah, entah berapa ramai yang telah diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik sepertimu itu wahai anakku bisa saja boleh berubah menjadi kusam dan masam..mungkin seperti ayahmu ini bukan?..
Tempat yang hening dan indah juga boleh bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi orang tua yang mengah..juga seperti ayahmu ini. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek.

Ingatlah wahai anakku..Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.

Ingatlah. Ingatlah baik-baik.

Sayangku,...
Lihatlah, ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Ayahmu ini juga suatu masa dahulu lupa bahawa kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Ingatlah, masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia akan merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Masa mengubah kita. Mengubah anggapan manusia sesama manusia. Ia mengubah perasaan dan rasa kita. Ia mengubah benci dan cinta kita. Ia mengubah gembira dan duka kita.

Sayangku,...
Simpanlah ingatan ini di dadamu baik-baik bahawa waktu itu tetap tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah Yang Maha Kuasa. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya. Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta. Seorang raja atau sultan yang meraikan harijadi setiap kali menjelang musimnya dengan menganugerahkan darjat dan pangkat kepada orang lain, belum tentu dia sendiri mendapat darjat dan pangkat yang tinggi di sisi Allah.

Mungkin belanja hari jadinya itu akan menjadi beban kepadanya pada hari akhirat kelak; dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan?! Seorang miskin di ceruk yang terpencil, mungkin tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada pula anugerah atau hadiah yang diperolehi.

Sayangku,...
Ingatlah bahawa, itu bukanlah suatu tanda kehinaan buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan. Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Sampai ke detik penghabisan, kita akan bertemu Tuhan..wahai anakku. Ketika itu apa yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.

Sayangku,...mana satu mahumu?

Sayangku,...
Ingatlah akan sumpah Allah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan siapa yang rugi.

Firman Allah dalam Surah al-‘Asr: (maksudnya)

Demi Masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”. (Surah al-‘Asr 1-3).

Demikianlah Tuhan Pencipta masa telah memutuskan bahawa insan yang hidup dalam masa ini akan tetap dalam kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mu wahai anak kesayanganku adalah apabila dirimu memenuhi ciri-ciri sebuah keimanan, amal yang soleh dan selalulah dirimu berada dalam keadaan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Sayangku,..

Ingatlah...

SELAMAT HARI LAHIR WAHAI ANAK KESAYANGANKU :)

0 comments:

Post a Comment