ISTERI NAK BERCERAI?

ISTERI BOLEH TUNTUT TAKLIK MENGIKUT KESESUAIAN KES

Artikel ini adalah berkaitan dengan artikel sebelum ini yang bertajuk Apakah Harta Sepencarian Dan Pembahagian Harta Sepencarian memandangkan jika pihak isteri yang ingin menuntut cerai dari suaminya.

"...saya ingin bercerai dengan suami kerana tidak bersefahaman lagi. Suami tidak pernah menghargai saya sebagai isterinya. Saya sudah beberapa kali meminta suami menceraikan saya tetapi beliau hanya mendiamkan diri . Suami juga tidak memberi nafkah hampir setahun. Apabila saya meminta wang, suami memberitahu saya mempunyai gaji sendiri dan tidak perlu memberi nafkah. Oleh kerana saya yang mahu bercerai, suami berkata tidak perlu memberikan nafkah. Saya tidak kisah mengenai nafkah, apa yang saya mahu ialah bercerai tetapi beliau tidak bersetuju..."

Jawapan:

Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan perceraian melalui talak. Mengikut Seksyen 47, jika pihak satu lagi tidak bersetuju untuk bercerai maka mahkamah akan mengarahkan untuk dilantik jawatankuasa pendamai terdiri daripada wakil setiap pasangan dan dipengerusikan oleh pegawai agama. Tugas jawatankuasa adalah untuk mendamaikan pasangan dan jika masih gagal maka penimbangtara atau hakam pula akan dilantik.

Hakam mempunyai kuasa untuk menceraikan pasangan. Kaedah hakam terdapat dalam Arahan Amalan berhubung hakam yang diikuti di mahkamah syariah. Isteri juga boleh menuntut taklik terhadap suami jika beliau sudah melanggar taklik dilafazkan oleh suami selepas akad nikah. Isteri perlu meneliti semula sijil nikah dan melihat taklik yang dilafazkan itu. Jika ada perlanggaran taklik, maka isteri boleh memohon pensabitan lafaz taklik itu.

Selain taklik, isteri boleh memohon cerai fasakh daripada mahkamah syariah berdasarkan alasan yang dinyatakan dalam Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Ada 17 alasan boleh digunakan bagi memfasakhkan perkahwinan. Terpulang kepada puan untuk meneliti alasan berkenaan sama ada sesuai dengan apa yang dialami atau pun tidak.

Jika tiada kecacatan atau keaiban pada pihak suami, tetapi isteri masih mahukan perceraian atas alasan tertentu, isteri boleh memohon tebus talak di mahkamah syariah. Dalam keadaan ini isteri perlu membayar sejumlah wang yang dipersetujui kedua-dua belah pihak atau ditentukan mahkamah bagi menebus talak daripada suami. Namun ada beberapa implikasi terhadap isteri jika memohon tebus talak seperti akan dinafikan hak mutaah atau mendapat sagu hati perkahwinan akibat diceraikan tanpa sebab munasabah.

Berdasarkan penjelasan, ada beberapa cara bagi membubarkan perkahwinan. Isteri boleh memilih mana-mana cara di atas mengikut kesesuaian kes. Walau bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihati supaya memikirkan semasak-masaknya mengenai perceraian ini kerana perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci Allah.

Adalah amat baik jika kita dapat melakukan solat istikharah bagi memilih jalan terbaik buat diri kita sebelum membuat sebarang keputusan. Dinasihatkan juga agar mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak ketiga yang boleh dipercayai bagi membaiki perkahwinan isteri dan suami seperti ibu bapa kedua-dua pasangan. Atau mungkin pasangan boleh berjumpa dengan perunding atau kaunselor bagi membincangkan masalah ini.

Dalam banyak keadaan, keretakan rumah tangga adalah akibat tiada atau kurangnya komunikasi yang berkesan antara pasangan. Pasangan tidak faham keperluan masing-masing dan tidak berbincang secara terbuka serta berhemah mungkin akibat tekanan kerja, komitmen di tempat lain dan juga sebab tidak dapat dielakkan. Selalunya jika berlaku perceraian, kedua-dua pihak sudah melakukan kesilapan, cuma yang membezakannya ialah ratio kesilapan itu saja.

Kesilapan sering dilakukan ialah kurangnya komunikasi dan membiarkan sesuatu perkara begitu lama, tidak mencegahnya di peringkat awal. Sekali lagi saya menyarankan supaya berfikir semula mengenai keputusan untuk perceraian dan cubalah berbincang dengan suami untuk memulakan episod baru perkahwinan yang kita kehendaki.

Fikirkanlah juga nasib anak selepas kita bercerai kelak. Sudah tentu anak akan kehilangan salah seorang daripada ibu atau bapa. Mereka juga terpaksa mengubah cara hidup setelah perpisahan itu dan ini sedikit sebanyak akan mendatangkan keresahan kepada mereka. Anak sudah tentu akan merindui ibu atau bapa mereka setelah berpisah nanti. Sebaiknya bersembahyang istikharah bagi memohon petunjuk daripada Allah apakah jalan terbaik yang harus dipilih bagi menempuh hari mendatang.

INFO
Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor

Jika pihak satu lagi tidak bersetuju untuk bercerai, mahkamah akan mengarahkan untuk dilantik jawatankuasa pendamai terdiri daripada wakil setiap pasangan dan dipengerusikan pegawai agama.

Tugas jawatankuasa mendamaikan pasangan dan jika masih gagal, penimbangtara atau hakam akan dilantik. Hakam berkuasa menceraikan pasangan. Kaedah hakam terdapat dalam Arahan Amalan berhubung hakam diikuti di Mahkamah Syariah.

Sekian

.....................................................................................

Di bawah ini saya kira sesuai untuk rujukan kita bersama. Artikel dari Berita Harian : 23 April 2008 oleh Nurhidayah Muhd Hashim, Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Ibu bapa wajar bantu selamatkan perkahwinan anak
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim


MUTAKHIR ini, akhbar menyiarkan pelbagai kisah artis Malaysia berkahwin beberapa bulan, kemudian mengalami masalah rumah tangga dan bercerai. Kisah perkahwinan dan perceraian artis pula memang disukai ramai kerana mereka adalah golongan selebriti yang dikenali. Seorang penulis ada menyebut bahawa tahun ini adalah tahun artis berkahwin dan bercerai. Namun, beliau menyatakan berkahwin dan bercerai bukan saja berlaku kepada artis tetapi kepada orang biasa juga. Agak menarik untuk dikupas.

Perkahwinan sememangnya menyatukan dua insan berbeza latar belakang, datang daripada dua keluarga berlainan dan dibesarkan dengan pendekatan berbeza oleh ibu bapa mereka. Maka, sudah tentu wujud perbezaan antara mereka sama ada daripada segi cara berfikir, pembawaan diri, penilaian terhadap sesuatu perkara dan pendekatan diambil apabila berdepan masalah.

Perbezaan itu seharusnya ditangani dengan baik, hati terbuka dan berlapang dada di antara pasangan berkahwin. Islam menekankan supaya suami melayani isteri dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang, bukan secara kekasaran atau kekerasan. Kedua-dua belah pihak disaran supaya bergaul, menjalinkan hubungan dengan baik dan harmoni. Ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isterimu) dengan cara yang makruf.” - (Surah al-Nisaa’, ayat 19)

Kadang-kala kita melihat ada suami melayan isteri dengan ganas, pantang tersilap akan dimarah dan diherdik dengan kata-kata kesat walaupun di hadapan orang ramai. Bahkan ada yang dipukul dan lain-lain perlakuan tidak wajar.

Ini sebenarnya berlawanan dengan ajaran Rasulullah SAW. Baginda berjaya menzahirkan hubungan kekeluargaan yang sangat tulus dengan semua isterinya dan dinyatakan dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku di kalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan ahliku.” - (Riwayat Ibn Majah)

Apabila berlaku perbezaan, Islam menyarankan supaya kita melihat perbezaan itu daripada sudut positif sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Jika kamu benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikan mereka). Kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan apa yang kamu bencikan itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah al-Nisa', ayat 35)

Jika isteri melakukan sesuatu perkara yang buruk dan berlawanan dengan syariah serta menderhaka kepada suaminya atau dipanggil nusyuz, maka apakah yang seharusnya dilakukan? Allah berfirman yang bermaksud: “Wanita yang kamu khuatiri nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkan diri daripada tempat tidur mereka, dan pukul mereka, kemudian jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkannya.” - (Surah al-Nisaa, ayat 35)

Pentafsir seperti al-Tabari menyebut jika rumah tangga dibina menghadapi masalah dan ia berpunca daripada sikap nusyuz isteri, maka hendaklah isteri itu diberi peringatan supaya kembali taat kepada Allah dan melaksanakan hak suami ke atasnya. Jika isteri nusyuz dengan meninggalkan tempat tidur, maka hendaklah ditegur dengan kata-kata nasihat seperti, “Bertakwalah kamu kepada Allah dan kembalilah ke katilmu.”

Tindakan kedua, jika isteri masih berlaku nusyuz ialah suami meninggalkannya dan tidak melakukan persetubuhan bersama isterinya. Dalam keadaan ini, al-Tabari mentafsirkan bahawa ada dua cara dibolehkan iaitu suami masih tidur bersama isteri di atas katil yang sama tetapi tidak melakukan persetubuhan. Cara kedua ialah suami meninggalkan isterinya iaitu tidak tidur bersama tetapi masih berada dalam ruang lingkup rumah yang didiami oleh pasangan terbabit.

Jika selepas dua tindakan dilakukan tetapi isteri masih tetap berlaku nusyuz, maka tindakan seterusnya ialah suami boleh memukul isterinya dengan pukulan yang tidak mencederakannya sehingga isteri berubah dan kembali taat kepada Allah dan suaminya. Jika isteri sudah kembali taat maka suami tidak boleh lagi mengambil tindakan seperti dinyatakan di atas.

Peruntukan pukul dijadikan alasan oleh sesetengah pihak sebagai bukti Islam menindas wanita kerana membenarkan suami memukul isteri. Sebenarnya, peruntukan itu adalah satu alternatif penguatkuasaan disiplin diperuntukkan sebagai jalan terakhir membentuk salah laku isteri jika ada.

Ia bukan galakan kerana jika begitu, sudah tentu ada ditunjukkan Nabi SAW mengambil tindakan itu ke atas isterinya. Realitinya, Nabi SAW sendiri tidak pernah memukul isteri Baginda, bahkan Baginda mengutuk mana-mana lelaki yang memukul isteri pada waktu siang dan menidurinya pula di waktu malam. Ini menunjukkan Nabi sangat menekankan rahmah, hubungan mesra dijalankan dan bukannya hubungan tegang dengan hukuman dan deraan.

Bagaimana jika salah laku atau permasalahan berpunca daripada suami ataupun berpunca daripada kedua-dua belah pihak suami dan isteri? Apakah yang harus dilakukan untuk menyelesaikannya? Menurut Ibn Kathir, ayat 34 surah al-Maidah sebenarnya adalah berkait rapat dengan ayat 35 surah sama iaitu Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan jika kamu khuatirkan ada perbalahan antara keduanya, maka kirimlah dari keluarga lelaki dan dari keluarga perempuan. Jika keduanya bermaksud mengadakan pembaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu.”

Wajar atau tidak ibu bapa campur tangan apabila sesuatu pasangan bergaduh dan hubungan menjadi tegang? Jawapannya adalah wajar demi kesejahteraan dua pasangan terbabit. Kemungkinan dengan campur tangan daripada keluarga, hubungan pasangan bermasalah boleh diselesaikan dan bahtera perkahwinan mereka dapat diselamatkan daripada karam.

Ini jarang berlaku dalam masyarakat kita. Selalunya yang kita dengar adalah apabila berlaku perselisihan, ada ibu bapa mengambil sikap berkecuali dan hanya menyebut, “Pandai-pandailah kamu selesaikan masalah rumah tangga kamu.” Pendekatan ibu bapa seperti ini adalah silap dan ia tidak menepati apa yang Allah sarankan.

Dalam setiap urusan perkahwinan, ibu bapa dan keluarga adalah antara golongan paling sibuk meraikan pasangan, justeru, apabila berlaku masalah, wajar ibu bapa berusaha menolong bagi menyelesaikan secara baik. Ibu bapa suami dan ibu bapa isteri perlu berbincang mengenai cara untuk menyelamatkan hubungan perkahwinan, bukannya menyalahkan pihak satu lagi.

Bahkan, jika ibu bapa gagal berperanan, maka, abang, kakak, bapa saudara dan lain-lain juga wajar menghulurkan tangan, mengambil tahu serta berusaha untuk menyelamatkan sesebuah ikatan perkahwinan yang dibina.

0 comments: