10 May 2012

Berani Melakukan Perubahan


Perubahan itu bermula daripada diri individu. Apabila individu-individu berubah menjadi baik maka dia menjadi orang baik. Apabila terdapat individu-individu yang baik, maka masyarakat akan menjadi baik.

Orang baik bertanggungjawab menuntut ilmu untuk disampaikan kepada masyarakat, terutamanya ilmu agama. Penyampaian ilmu dan fikrah daripada individu-individu yang baik inilah yang akan membentuk masyarakat yang baik. Orang-orang yang baik akan dipersoalkan oleh Allah sekiranya mereka tidak melaksanakan dakwah terhadap masyarakat.
 Seringkali terasa sukar bagi seseorang untuk melakukan perubahan, lebih-lebih lagi perubahan ke arah kebaikan dan kebenaran. Antara punca berlakunya masalah ini ialah lemah pendirian. Seorang yang lemah pendirian dikatakan sebagai seorang yang bermaksiat, lalai, dan tidak memenuhi kewajipan dirinya sebagai seorang Muslim. Perlulah diyakini bahawa sesungguhnya syariat Allah itu diturunkan dalam keadaan mampu dilaksanakan oleh manusia dengan berbagai kelonggaran yang dikurniakan Allah. Oleh itu tiada sebab bagi seseorang untuk tidak memenuhi kewajipan beriltizam dengan syarak. Orang yang lemah pendirian dikatakan sebagai orang yang 'aasi yakni orang yang melakukan maksiat kepada Allah, disebabkan kelalaiannya dalam memenuhi hak-hak Allah SWT.

Terdapat beberapa tanda seseorang itu lemah pendirian menurut pendapat ulama'. Maka jika kita mendapati salah satu daripada berikut terdapat dalam diri kita maka ayuh kembali kepada Allah dan berusaha memperbaiki semula diri kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Antara tanda lemah pendirian:

  • Tidak berhati-hati apabila bercakap. Apabila seseorang itu tidak berhati-hati apabila bercakap, percakapannya boleh dimasuki oleh unsur-unsur yang boleh membawa kepada dosa dan fitnah.
  • Tidak taat kepada pemimpin. Seseorang Muslim itu harus taat kepada pemimpin yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah seperti mana yang telah dijelaskan Allah dalam Surah an-Nisa' ayat 59.
  • Tidak mahu berkorban di jalan Allah.
  • Tidak berhati-hati dalam setiap tindakan yang dilakukan.
  • Tidak sabar dalam menunggu kejayaan. Misalnya seseorang yang berdoa kepada Allah dan mengharap doa itu dimakbulkan pada saat itu juga sedangkan ada doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah serta merta untuk digantikan dengan balasan yang lebih baik kelak.
  • Mudah terpengaruh dengan godaan dunia. Antara cara untuk mengelakkan godaan dunia ialah memperbanyak amalan dan menyibukkan diri dengan amal-amal Islami.
  • Cepat berputus asa daripada rahmat Allah.
  • Melakukan perkara-perkara yang kurang bermanfaat seperti berhibur dengan berlebihan, tidur berlebihan dan sebagainya.

Perlu juga diketahui bahawa terdapat banyak sebab yang boleh menjadikan seseorang itu lemah pendirian. Antara faktor lemah pendirian ialah pergaulan dengan orang-orang yang lemah pendirian, termasuk menuruti perintah pemimpin yang lemah pendirian. Seperti mana hadis Rasulullah SAW "orang Mukmin itu adalah cerminan saudaranya" dan juga kata-kata "rakyat adalah menurut agama pemimpinnya." Faktor lain yang boleh mendorong kepada lemah pendirian ialah lemahnya iman seseorang. Orang yang lemah iman tidak dapat memperbaik dirinya sendiri. Antara cara untuk menguatkan iman adalah dengan menuntut ilmu, terutamanya ilmu Din dan ilmu-ilmu yang dapat membawa kepada kebesaran Allah SWT. Iman berhubung kait dengan amal soleh. Lemahnya iman menyebabkan amalan soleh kita berkurangan, dan kurangnya amal soleh membawa kepada kelemahan iman. Untuk mengelakkan lemah iman, selain daripada menuntut ilmu, kita hendaklah menjauhkan diri kita daripada mencintai dunia secara berlebihan.

Disunting dari ceramah Ustaz Mazlan Bin Tan (HALUAN Selangor)

0 comments:

Post a Comment